top of page

Lawatan Sambil Belajar Perkukuh Pendedahan Industri Pelajar Kelab Teknologi Makanan FSMP UMS

  • nabalunews
  • 17 hours ago
  • 2 min read

8 Januari 2026


KOTA KINABALU: Seramai 15 pelajar Program Teknologi Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Lawatan Sambil Belajar ke industri di Pantai Timur Sabah baru-baru ini.


Pengarah Program, Clara Claudia Japanis berkata, lawatan itu bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada pelajar mengenai realiti operasi industri makanan, sekali gus membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan teori yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam konteks sebenar industri.


“Lawatan ini juga memberi penekanan terhadap kefahaman berkaitan pengurusan pengeluaran, kawalan kualiti serta pematuhan kepada piawaian keselamatan makanan yang menjadi keperluan utama dunia pekerjaan masa kini.

“Pendedahan ini penting untuk meningkatkan keyakinan serta kefahaman pelajar terhadap keperluan industri semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Lawatan selama lima hari itu turut diiringi Penasihat Kelab dan Pensyarah Pengiring, Dr. Yanty Noorzianna Abdul Manaf.


Sebanyak dua organisasi industri dikunjungi iaitu QL Farms Sdn. Bhd. di Tawau dan IOI Edible Oils Sdn. Bhd. di Sandakan.


Menurut Clara, semasa lawatan di QL Farms pelajar didedahkan kepada pengurusan penternakan ayam secara sistematik, amalan kebersihan industri, serta kaedah pengendalian bahan mentah sebelum diproses.


“Pendedahan ini meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kepentingan kawalan pada peringkat awal rantaian pengeluaran makanan, yang merupakan elemen kritikal dalam memastikan kualiti dan keselamatan produk sentiasa terjamin.


“Sementara di IOI Edible Oils pula, para pelajar diberi peluang menyaksikan secara langsung keseluruhan proses pengeluaran minyak sawit pelbagai fraksi pada skala industri.


“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh kerjasama antara universiti dan pihak industri.


“Inisiatif sebegini mampu melahirkan graduan Teknologi Makanan yang lebih kompeten, berdaya saing serta bersedia menyumbang kepada pembangunan sektor industri makanan negara,” jelasnya lagi.


Bagi Dr Yanty, beliau memaklumkan Lawatan Sambil Belajar ke industri di Pantai Timur Sabah itu telah berjaya memberikan pengalaman yang bermakna kepada para pelajar.


“Program ini selaras dengan aspirasi FSMP UMS dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran praktikal, serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page