Layanan saksama jadi keutamaan HQE, agihan katil telus - JKNS
- nabalunews
- Apr 18
- 2 min read

18 April 2026
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi jaminan bahawa Hospital Queen Elizabeth (HQE) komited memastikan layanan saksama kepada semua pesakit tanpa mengira latar belakang.
JKNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia termasuk pengagihan katil yang dilaksanakan secara telus berdasarkan keperluan klinikal serta kekosongan semasa.
Jabatan itu menegaskan kebajikan dan keselamatan pesakit kekal menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap pelaksanaan pengurusan hospital.
“Pengurusan aliran pesakit yang cekap di Jabatan Kecemasan HQE amat penting bagi memastikan rawatan kecemasan diberikan dengan cepat dan selamat, memandangkankan peranannya sebagai pusat rujukan utama bagi Sabah dan Labuan.
“Pelaksanaan pengurusan aliran pesakit ini adalah selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Aliran Pesakit di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta modul MyLEAN Awareness, yang memberi fokus kepada pengurangan kesesakan di jabatan kecemasan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab isu “zero pending” di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta dakwaan ugutan kakitangan dan layanan VIP di hospital berkenaan.
Menurut JKNS, antara inisiatif dilaksanakan termasuk penyelarasan penggunaan katil melalui Bed Management Unit (BMU), pewujudan wad multidisiplin dan pengukuhan pengurusan discaj menerusi pendekatan Expected Date of Discharge (EDD).
“Selain itu, kemudahan Discharge Lounge serta sistem pemantauan katil turut diperkenalkan bagi memastikan ketersediaan ruang untuk pesakit baharu dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Inisiatif yang dilaksanakan sejak 29 Januari lalu menunjukkan hasil positif dengan penggunaan katil ketika ini lebih optimum, tempoh menunggu kemasukan wad dapat dipendekkan serta kesesakan di Jabatan Kecemasan dikurangkan secara signifikan,” tambah kenyataan itu.
Jabatan itu memaklumkan, kelestarian inisiatif itu terus diperkukuh menerusi langkah strategik termasuk mesyuarat berkala bersama pihak berkepentingan serta penambahbaikan sistem katil berdasarkan kriteria klinikal telus.
Tambahnya, penilaian berkala sistem turut dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan pesakit secara praktikal di samping memberi keutamaan kepada kesejahteraan petugas kesihatan.
JKNS turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen tinggi warga kesihatan meskipun berdepan beban kerja tinggi, sambil menegaskan setiap maklum balas yang diterima akan diteliti demi memastikan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti untuk rakyat Sabah.















Comments