Lebih 1,000 anak yatim, pelajar tahfiz diraikan dalam Sambutan Aidilfitri Sabah 2026
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

27 Mac 2026
KOTA KINABALU: Lebih 1,000 golongan memerlukan termasuk anak yatim dan pelajar tahfiz akan diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) esok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata majlis bertemakan Aidilfitri Wadah Perpaduan itu akan bermula dari 10 pagi hingga 2 petang, dengan anggaran kehadiran sekitar 20,000 pengunjung.
Beliau berkata penganjuran kali ini memberi penekanan kepada golongan memerlukan sebagai usaha menyemarakkan nilai kebersamaan dan keprihatinan dalam sambutan Aidilfitri.
“Pada tahun ini, kita memperluaskan penglibatan golongan memerlukan termasuk lebih 1,000 anak-anak tahfiz dan anak yatim untuk bersama-sama meraikan sambutan ini.
“Selain itu, sumbangan turut akan disampaikan kepada sembilan rumah kebajikan melibatkan anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi temu bual bersama SabahFM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Khamis.
Menurutnya, pendekatan berkenaan selaras dengan nilai keprihatinan serta saranan kepimpinan agar program dilaksanakan secara sederhana namun memberi impak kepada kumpulan sasar.
“Ini juga mengambil kira nasihat kepimpinan supaya mengutamakan amalan berjimat cermat di samping memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan memaklumkan sebanyak 71 gerai melibatkan usahawan tempatan serta 15 hotel akan menyediakan pelbagai juadah Aidilfitri kepada pengunjung.
Katanya, penglibatan vendor berkenaan secara tidak langsung membantu usahawan kecil menjana pendapatan, selain memperkaya pilihan sajian kepada tetamu.
“Selain itu, enam agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan kementerian turut mengambil bahagian dalam penyediaan makanan bagi memastikan kepelbagaian hidangan,” katanya.
Majlis itu dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kepimpinan negeri, selain wakil agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Orang ramai khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan.











