LEBIH 1,000 PENGHUNI RUMAH PANGSA TANJUNG ARU TERIMA NOTIS MINTA PENJELASAN
- Wartawan Nabalu News
- May 28, 2021
- 2 min read

28 Mei 2021
KOTA KINABALU: Lebih 1,000 penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru yang menerima notis pindah keluar daripada rumah berkenaan meminta penjelasan beberapa perkara daripada kerajaan GRS.
Jurucakap penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru meminta Kerajaan GRS menjelaskan keadaan sebenar bangunan berserta laporan teknikal dari jurutera bertauliah, perancangan masa depan tapak bangunan itu dan niat sebenar penghentian kerja-kerja penyelenggaraan selama ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan wakil penghuni Rumah Pangsa Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) lebih 1,000 orang yang menghuni 315 keluarga menerima notis pindah keluar, baru-baru ini.
Mereka mendakwa, ia terjadi selepas dua bulan (22 Mac), GRS membawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat kawasan itu untuk mendengar masalah penduduk.
“Kami mahu kerajaan GRS menjelaskan keadaan sebenar bangunan serta laporan teknikal daripada jurutera bertauliah.
“Ini kerana mangsa-mangsa pengusiran pernah meminta jurutera JKR membuat ujian 'core testing'. Mengikut maklum balas ujian tersebut, bangunan-bangunan di sini masih boleh bertahan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun. Jika bangunan ini masih selamat, kenapa GRS tergesa-gesa menghalau penduduk-penduduk di sini?,” kata wakil jurucakap mereka.
Selain itu mereka juga mahu penjelasan mengenai perancangan masa depan tapak bangunan itu.
“Ini kerana tujuan penubuhan LPPB adalah untuk membantu rakyat memiliki rumah. Memandangkan tanah ini milik LPPB, sepatutnya LPPB membina semula perumahan rakyat.
“Jika GRS berniat membina semula perumahan rakyat, maka jaminan harus diberi kepada penduduk-penduduk sedia ada, bahawa mereka akan diberi tempat dalam perumahan rakyat yang baru ini.
“Tapi jika GRS mahu usir penduduk di sini untuk membuka jalan kepada pembinaan resort dan hotel lima bintang, maka ini tidak adil dan prejudis,” katanya.
Penghuni Rumah Pangsa itu mendakwa kerja-kerja penyelenggaraan telah dihentikan.
“Kerajaan GRS telah menghentikan kerja-kerja penyelenggaraan di sini. Paip bocor, pintu rosak, semuanya dibayar oleh penduduk ataupun penduduk terpaksa tunggu lama untuk diberi perkhidmatan.
“Adakah ini tindakan sinis yang bertujuan 'mempercepatkan' proses penghalauan? Adakah GRS sengaja susahkan penduduk-penduduk di sini, supaya mereka akhirnya akur dan berpindah keluar?
“Secara logik, kalau bangunan tidak diselenggara, memanglah cepat rosak. Tapi kalau diselenggara, bangunan akan bertahan lebih lama. Jadi kenapa GRS tidak menyelenggara bangunan ini?,” katanya,
Sehubungan itu mereka berharap agar kerajaan GRS dan LPPB dapat memberi jawapan dan kepastian secara bertulis.
Pada 24 Mei lalu, LPPB mengeluarkan notis pemberitahuan agar penghuni rumah pangsa berkenaan membuat persediaan untuk berpindah berikutan struktur bangunan yang tidak selamat didiami.
Usia bangunan yang memasuki 50 tahun antara faktor pihak LPPB mengambil tindakan sedemikian.
Comments