Lebih 180 Peserta Sertai Jom Larian MADANI 2025
- nabalunews
- Sep 14
- 2 min read

14 September 2025
KOTA KINABALU: Acara Jom Larian MADANI 2025 berlangsung dengan penuh meriah apabila lebih 180 peserta dari pelbagai latar belakang di Sabah, termasuk negara jiran Brunei Darussalam dan negeri Sarawak, hadir memeriahkan penganjuran tersebut.
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS) ini diketuai oleh Presidennya, Datuk Pengiran Lalung, yang juga merangkap Pengerusi Jom Larian MADANI 2025.
Datuk Pengiran Lalung berkata, pihaknya mendapat sokongan penuh dari Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick bagi menjayakan program berkenaan.

Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan bahawa aktiviti berbentuk riadah kesihatan mendapat tempat di hati masyarakat.
“Penyertaan kali ini bukan sahaja dari seluruh Sabah, malah kita menerima kehadiran peserta dari Brunei dan Sarawak.
“Ini adalah petanda positif bahawa acara sebegini mampu mengeratkan hubungan persahabatan merentasi sempadan negeri dan negara,” katanya ketika ditemui selepas acara.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob.
Pangiran berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan lasak ringan seperti larian, di samping menyemai semangat kekitaan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Katanya, selain aktiviti larian, acara turut diserikan dengan pelbagai pengisian sampingan ia juga memberi peluang kepada para peserta dan pengunjung untuk berinteraksi dan merasai keunikan warisan masyarakat setempat.

“Peserta yang menyertai larian turut melahirkan rasa gembira dengan penganjuran ini. Bagi mereka, ia bukan sahaja peluang untuk menjaga kesihatan, tetapi juga medan berkenalan dengan rakan baharu dari pelbagai latar belakang.
“Seorang peserta dari Brunei berkata, beliau teruja kerana dapat menyertai acara meriah ini sambil menyifatkan hospitaliti masyarakat tempatan sebagai sesuatu yang istimewa,”’katanya.
Sehubungan itu, Datuk Pengiran Lalung turut menyatakan harapan agar Jom Larian MADANI dapat dijadikan acara tahunan yang terus menarik penyertaan lebih ramai pada masa akan datang.
“Kita mahu jadikan program ini sebagai salah satu acara komuniti yang mampu mengangkat nama Sabah, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.
“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin Jom Larian MADANI boleh berkembang menjadi acara sukan dan kebudayaan yang ikonik yang menyatukan masyarakat melalui sukan, budaya dan semangat kebersamaan,” katanya.


















Comments