Lebih 20,000 pengunjung dijangka hadiri sambutan Aidilfitri Sabah Sabtu ini
- nabalunews
- Mar 24
- 2 min read

24 Mac 2026
BEAUFORT: Lebih 20,000 pengunjung dijangka menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri Sabah yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, majlis berkenaan dijadual bermula seawal jam 10 pagi dengan pelbagai pengisian menarik telah disusun.
Menurutnya, selain jamuan makanan, antara pengisian utama termasuk penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan rumah kebajikan serta persembahan artis tempatan Sabah.
“Sambutan ini menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
“Sehubungan itu, kita mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama atau fahaman politik bagi bersama-sama memeriahkan majlis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Kampung Bingkul, di sini, pada Isnin.
Arifin berkata, sambutan tersebut juga merupakan manifestasi kesyukuran atas keamanan dan keharmonian yang dinikmati di Sabah, selain menandakan kesinambungan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Majlis berkenaan akan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kepimpinan negeri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 71 vendor dan 15 hotel akan terlibat dalam penyediaan juadah bagi memastikan kepelbagaian pilihan makanan kepada pengunjung.
“Penglibatan vendor dan pengusaha kecil bukan sahaja menyemarakkan suasana sambutan, malah membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan, di samping memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan,” katanya.
Sementara itu, Arifin turut menekankan amalan kesederhanaan dalam menyambut Aidilfitri selaras dengan saranan Kerajaan Persekutuan agar masyarakat tidak berbelanja secara berlebihan.
“Kita sambut secara sederhana, makan dan minum tetapi jangan berlebihan, sebaliknya kita utamakan kesyukuran dan membantu golongan memerlukan,” katanya.















Comments