top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih 3,000 hadiri Rumah Terbuka Krismas Kadamaian


8 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Lebih 3,000 pengunjung menghadiri Rumah Terbuka Krismas Kadamaian dan Tahun Baharu 2024, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam majlis-majlis Rumah Terbuka merupakan satu petunjuk bahawa perpaduan dan keharmonian di kalangan pelbagai kaum dan agama di negara kita terus subur.


“Mari kita tunjukkan kepada dunia bahawa di sebalik kepelbagaian dan kemajmukan rakyat, kita tetap boleh bersatu padu, hidup berharmoni dan saling hormat-menghormati serta boleh merayakan sambutan kebudayaan dan keagamaan dalam suasana aman damai.


“Semangat inilah juga yang terserlah di dalam pimpinan Kerajaan Perpaduan hari ini, di sebalik keunikan ideologi politik kita tetap boleh segulai sejalai dalam mentadbir dan memimpin negara ini.

Ewon mengumumkan dan menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung bertuah pada majlis itu.

“Kebersamaan kita dalam majlis seperti ini adalah respon terbaik kita kepada lontaran-lontaran ekstrem terkait kaum dan agama yang boleh mencetuskan kegusaran di kalangan rakyat jika tidak dikawal.


“Yakinlah bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa mengutamakan agenda perpaduan dan keharmonian kaum serta kestabilan politik agar kita dapat membangunkan negara kita ini dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis itu.


Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Panglima Dr.Ahmad Zahid Hamidi.


Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Suriani Dato Ahmad, Adun Usulan Datuk Seri Salleh Tun Said, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta para pemimpin negeri.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, kepelbagaian bangsa dan agama dalam Masyarakat majmuk di negara ini adalah satu keunikan yang harus dipertahankan.


“Kita tidak mahu parti-parti politik, pertubuhan bukan Kerajaan, tokoh-tokoh atau individu tertentu yang taksub untuk mewujudkan jurang perbezaan di kalangan rakyat negara ini.


“Sabah adalah contoh terbaik toleransi beragama dan kaum. Saya agak terkejut apabila Sambutan Hari Natal ada doa Imam,” katanya.


Pada majlis itu beliau meluncurkan tiga projek menaiktaraf Jalan Luar Bandar (JLB) Kedamaian, iaitu Jalan Tengkurus Lahanas Siba-Lahanas Sokid dan Jalan Sayap yang sudah dalam proses pelaksanaan serta Jalan Podos Taginambur yang dalam proses pelantikan kontraktor.

Kesemua projek ini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM244 juta di bawah peruntukan KKDW.


Beliau turut melancarkan Digital Desa satu inisiatif daripada Bank Rakyat dalam membudayakan gaya hidup tanpa tunai dalam kalangan rakyat dan usahawan luar bandar serta menyampaikan sumbangan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat kepada seramai 97 pelajar kawasan Kadamaian.


Ahmad Zahid mengumumkan kelulusan sebanyak 40 unit rumah perumahan penduduk rakyat termiskin (PPRT) kawasan Kadamaian.



Comments


bottom of page