Lebih 3,000 mangsa terjejas banjir di Sabah, Putatan catat jumlah tertinggi
- nabalunews
- Sep 18
- 1 min read

17 September 2025
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah dilaporkan meningkat kepada 3,036 orang setakat jam 7 petang tadi, berbanding 2,555 orang yang direkodkan pada sebelah pagi.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu melibatkan 917 keluarga yang kini ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas.
Antara daerah terjejas ialah Putatan, Beaufort, Membakut, Papar dan Penampang, manakala Sipitang menjadi daerah terbaharu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir.
Putatan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 936 mangsa daripada 251 keluarga ditempatkan di empat PPS termasuk SMK Petagas, Dewan PPR Sri Keramat, Dewan Sri Serigai dan Dewan Kampung Meruntum.
Membakut pula merekodkan 853 mangsa daripada 259 keluarga di lima PPS, manakala Beaufort dengan 295 mangsa melibatkan 92 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Selagon.
Selain itu, Penampang yang sebelum ini mencatat mangsa tertinggi kini dilaporkan menurun kepada 629 orang membabitkan 214 keluarga di lapan PPS.
Di Papar, seramai 271 mangsa daripada 85 keluarga direkodkan di dua PPS termasuk Dewan Masyarakat Papar dan Dewan Lokawi Kinarut.
Sementara itu, dua PPS diaktifkan di Sipitang hari ini menempatkan 52 mangsa daripada 16 keluarga, iaitu Dewan Mini Mesapol dan Dewan SK Padang Berampah.


















Comments