top of page
Wartawan Nabalu News

Lebih 30,000 penerima layak terima bantuan tunai BUDI MADANI mulai 10 Jun


6 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa lebih daripada 30,000 individu, petani, dan pekebun kecil komoditi telah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif BUDI MADANI.

 

Menurut MOF, bantuan tunai pertama berjumlah RM200 akan disalurkan kepada penerima melalui akaun bank mereka pada 10 Jun 2024. Bagi penerima tanpa akaun bank, mereka boleh menuntut bantuan ini secara tunai dengan membawa MyKad ke mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Jelas MOF, pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima BUDI MADANI.

 

"Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya. Permohonan yang dibuat selepas bulan Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada bulan Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk bulan Jun 2024," menurut kenyataan tersebut.

 

BUDI MADANI adalah usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak. Ia terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi), dan syarikat serta kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

 

Di bawah Belanjawan 2024, Kerajaan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan, dan ketirisan subsidi rakyat.

 

Bagi membendung kenaikan kos sara hidup, Kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel bersasar kepada kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu. Manakala, bantuan tunai RM200 disediakan kepada individu, petani, dan pekebun kecil komoditi yang layak.

 

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu. Manakala seramai 68,000 petani, 8,000 penternak, dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

 

Berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti pemohon yang tidak diluluskan adalah atas sebab tidak memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.

 

"Sebagai contoh, terdapat pemohon petani dan pekebun kecil yang tidak berdaftar di Kementerian yang berkenaan," jelas kenyataan itu.

 

Bagi pemohon individu yang tidak diluluskan, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my.

 

Untuk pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah Kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan BUDI MADANI.

 

Untuk maklumat lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, sila layari https://budimadani.gov.my atau hubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau melalui emel di budimadani@treasury.gov.my. Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperoleh di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.

Comments


bottom of page