top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Lebih 500 hadiri Program Outreach Imunisasi Covid-19 di Dewan Lasau Minunsud


25 Julai 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA BELUD: Lebih 500 orang menghadiri Program Outreach Imunisasi COVID-19 menerusi Task Force Imunisasi COVID-19 (CITF) di Dewan Lasau Minunsud, di sini, hari ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyambut baik pelaksanaan program itu dan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas inisiatif melaksanakan program ini.


”Saya juga difahamkan bahawa program yang sama akan dilaksanakan di Kampung Sayap, Kg.Kiau dan Kg. Kaung dalam kawasan DUN Kadamaian.

“Program ini amat baik untuk memudahkan penduduk kampung menerima vaksin terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan.


“Selain dapat mengurangkan kos pengangkutan, ia juga dapat menjimatkan masa dan memudahkan penduduk kampung berkenaan hadir menerima suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui wartawan pada Program Outreach Imunisasi COVID-19 menerusi Task Force Imunisasi COVID-19 (CITF) di Dewan Lasau Minunsud, di sini, hari ini.


Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada KKM dan semua petugas yang menjayakan program ini di kawasan Kadamaian.

Beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia khususnya di Kadamaian mendaftar dan menerima vaksin Covid-19 untuk mengurangkan kesan jangkitan.


“Bagi mereka yang sudah menerima vaksin, sila berkempen dan war-warkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain agar mereka juga turut menerima vaksin,” katanya.


Ewon turut menyampaikan sumbangan berupa pek makanan dan bakul makanan di Mukim Lasau, Kadamaian hari ini.


Semasa meninjau perjalanan program pemberian vaksin di Dewan Kg Lasau Minunsud, beliau menyampaikan sumbangan 550 pek makanan kepada para petugas program dan penerima vaksin yang hadir.

Comments


bottom of page