Lebih 600 pelajar di Kanibongan terima bantuan persekolahan dari Yayasan Bank Rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih 600 pelajar di Kanibongan terima bantuan persekolahan dari Yayasan Bank Rakyat


20 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PITAS: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meluluskan bantuan persekolahan berjumlah RM62,200 yang akan memanfaatkan 622 pelajar di daerah ini bagi membantu murid serta pelajar menjalani sesi persekolahan tahun ini.


Dalam ucapan majlis penyerahan bantuan tersebut, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Lasimbang, beliau berharap penyerahan bantuan ini diharapkan dapat membantu para ibu bapa menyediakan kelengkapan pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak mereka.


“Saya berharap, dengan penyerahan bantuan ini ia akan membantu para ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak supaya mereka dapat menjalani sesi persekolahan dengan lebih selesa,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Terbuka UPPM Kanibongan, Pitas pada Rabu.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Penganjur Program YBR, merangkap Ahli Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah, dan Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing, serta Pengetua SMK Kanibongan, Bonar Majingkin.


Philip menekankan bahawa pendidikan adalah kunci untuk mengubah realiti kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik.


Dalam pada itu, beliau turut memberikan penghargaan kepada ahli jawatankuasa Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Berhad atas inisiatif mereka yang memberi semangat kepada para pelajar dan berharap usaha murni ini dapat diteruskan di masa depan.


“Saya amat berterima kasih di atas sokongan yang padu daripada semua pihak terutamanya daripada pihak Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Berhad yang sudi berganding bahu untuk melaksanakan hasrat pada hari ini.


“Kami di Yayasan Bank Rakyat telah meletakkan tanda aras untuk menjadi sebuah badan bukan berkeuntungan yang terbaik dalam menyediakan bantuan pendidikan kepada setiap lapisan masyarakat demi membina serta meningkatkan taraf hidup rakyat melalui ilmu dan pengetahuan.


“Hal ini kerana, kami sentiasa berpendapat bahawa dengan pendidikan ia mampu untuk mengubah realiti kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik malah menjadikan individu tersebut bersifat matang serta berfikiran kritis dalam menyelesaikan ape jua masalah yang dihadapi," katanya.


Yayasan Bank Rakyat, yang telah dinobatkan sebagai Yayasan Terbaik 2023 bagi kategori Perbankan oleh CSR Award Malaysia, juga komited untuk menjadi badan bukan berkeuntungan yang terbaik dalam menyediakan bantuan pendidikan.



bottom of page