Lebih RM2 bilion dibelanja siapkan buku RMK12, dakwa Anwar
- Wartawan Nabalu News
- Sep 28, 2021
- 2 min read
Updated: Sep 29, 2021

28 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ketua Pembangkang itu berkata, peruntukan tersebut diberikan kepada kepada konsultan luar negara.
Beliau berkata, peruntukan itu sewajarnya diberikan kepada pakar-pakar dalam negara untuk menjalankan kajian termasuk berkaitan kemiskinan dalam menyiapkan Buku RMK12.
"Saya difahamkan lima tahun dulu telah dibelanjakan RM1.8 bilion (kepada konsultan luar). Jadi saya nak tanya, lebih RM2 bilion diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan buku RMK12 ini, mungkin sebahagiannya (kandungan kajian) kita boleh guna pakai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam RMK-12, kerajaan menyasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 dengan menumpukan kepada 2.9 juta isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkannya berkata, kerajaan memperuntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion dalam RMK-12, selain menjangkakan ekonomi negara pulih dan mencapai pertumbuhan yang lebih kuat antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun setelah mengalami pergolakan pada akhir RMK-11 akibat pandemik Covid-19.
Anwar turut menggesa supaya kerajaan memberi tumpuan kepada golongan bumiputera dan B40.
“Daripada kita secara berterusan ingin memperkotak-katikkan kuota bumiputera dan sebagainya, saya mahu beri satu soalan kerana orang anggap kita ini tidak setuju dengan dasar Bumiputera.
“Apa salahnya kalau kita tumpukan latihan, mutu pendidikan dan mutu kesihatan awam kepada golongan miskin desa dan bandar yang majoritinya adalah golongan Bumiputera?
“Wujudkan peruntukan itu, bukannya ditekankan isu kedudukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), soal kontrak, soal hendak lahirkan ramai jutawan. Kita tidak peduli perihal berjuta-juta, Bumiputera (kurang berkemampuan)yang patut diberikan keutamaan dan perhatian,” katanya.
Menjelang tahun 2025, menerusi RMK12, kerajaan menyasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar dengan menumpukan kepada 2.9 juta isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850.


















Comments