Lebih RM20 juta nilai jualan diraih Alumni TUBE Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih RM20 juta nilai jualan diraih Alumni TUBE Sabah



11 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sejumlah RM20.65 juta nilai jualan berjaya direkodkan oleh Alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Negeri Sabah, sejak program itu diperkenalkan pada 2014.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Program TUBE dilaksanakan oleh kementeriannya menerusi SME Corp. Malaysia bermatlamat menggalakkan belia bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun menceburi bidang perniagaan.


Beliau berkata, secara keseluruhan nilai jualan terkumpul yang dicatatkan oleh peserta TUBE dari seluruh negara adalah sebanyak RM154.38 juta.


"Kementerian saya akan terus komited memperkasakan ekosistem keusahawanan negara sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul.


“Tumpuan khusus diberikan kepada golongan belia yang merupakan penyambung warisan dan harapan bangsa untuk terlibat secara serius dalam bidang keusahawanan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sabah di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, di sini, hari ini.


Ewon berkata, bagi pembangunan keusahawanan belia di bawah KUSKOP, sebagaimana pengumuman Belanjawan MADANI 2024 baru-baru ini, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk meneruskan Program TUBE di bawah SME Corp.


“Manakala RM10 juta untuk membiayai Skim TEKUN Belia Mobilepreneur sebagai modal anak muda yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal dan platform digital,” katanya.


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy berkata, sejak dilancarkan pada 2014 hingga kini, sebanyak 7,738 usahawan belia berjaya dilatih di bawah program TUBE dengan geran perniagaan berjumlah RM103.88 juta.


“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,444 peserta (18.6%) peserta dari Sabah, melibatkan penyaluran geran permulaan perniagaan sebanyak RM15.42 juta (15.2%) dari jumlah keseluruhan penyaluran geran permulaan perniagaan. Berbanding negeri lain, Sabah mempunyai bilangan peserta yang tertinggi.


“Sehingga kini, seramai 7,040 peserta TUBE telah mendaftarkan perniagaan masing-masing dan berjaya mewujudkan sebanyak 13,866 peluang pekerjaan baharu,” katanya.


Dalam majlis itu, Ewon turut menyampaikan replika cek kepada 10 peserta TUBE 9.0 serta melancarkan Program Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI).


Program BMFI yang dilaksanakan dengan kerjasama Funding Societies merupakan program pembiayaan khas kepada Alumni TUBE yang ingin mengembangkan perniagaan dengan pembiayaan maksimum sehingga RM100,000.


Sesi Temu Mesra Alumni TUBE Sabah dihadiri 120 peserta dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Persatuan Tunas Usahawan Sabah (PANTAS), bertujuan menyediakan latihan lanjutan serta mendapatkan maklumbalas dan status terkini perniagaan Alumni TUBE.


Peserta yang hadir diberikan taklimat mengenai kemudahan pembiayaan lain yang ditawarkan bagi tujuan pengembangan perniagaan, perkongsian kisah kejayaan perniagaan oleh Alumni TUBE Sabah di samping peluang pasaran menerusi jaringan perniagaan dalam kalangan peserta.





bottom of page