top of page

Lelaki dikhuatiri dibaham buaya di Kinabatangan

  • nabalunews
  • Dec 3, 2024
  • 1 min read



3 Disember 2024


KINABATANGAN : Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mencuci bot bersama anaknya dalam kejadian di sungai Kampung Sri Ganda di sini pada Ahad.


Kisman Baco, 36, disedari hilang oleh anaknya sebelum mendapatkan bantuan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.35 malam pada Ahad.


Katanya, empat anggota dari BBP Kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 100 kilometer dari balai.


"Menurut saksi iaitu anak mangsa, ketika kejadian dia dan bapanya sedang mencuci bot di tepi sungai dan dia menyedari kehilangan bapanya secara tiba-tiba.


"Pasukan bomba ke lokasi kejadian keesokan paginya memandangkan jarak ke lokasi yang jauh dan sebaik tiba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Nurul Azlan berkata, pencarian dilakukan sejauh dua kilometer di kawasan hulu dan muara sungai bersama agensi bantuan yang lain dan penduduk kampung.


"Bagaimanapun, mangsa tidak ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 5 petang Isnin dan akan disambung semula keesokan harinya.


"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke semasa," katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page