LELAKI DIKHUATIRI HILANG KETIKA CARI SIPUT - MARITIM SABAH
- nabalunews
- Oct 16, 2020
- 1 min read

16 OKTOBER 2020
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika mencari siput di perairan Pulau Keramat, Rampaian Laut, Kota Belud, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah berkata mangsa, Mohd Hafizan Abdul Muara, 21, dari Kampung Rampaian, Kota Belud telah keluar bersama tiga rakannya untuk mencari siput tetapi disedari hilang dipercayai dipukul ombak kira-kira 3 petang.
“Usaha mencari mangsa turut dilakukan oleh orang kampung pada petang semalam sejurus dimaklumkan oleh rakan-rakan mangsa, bagaimanapun mangsa tidak dijumpai,” menurutnya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Mohd Rosli berkata pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada 7.30 malam semalam dan disambung 7 pagi tadi serta menggerakkan Bot Pengawal 38 ke lokasi dibantu aset dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa menjaga keselamatan serta peka dengan keadaan cuaca semasa, terutama ketika musim hujan dan angin kencang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim supaya melaporkan kecemasan yang berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774 dan MERS 999,” katanya.- Bernama















Comments