Lelaki Dipercayai Cuba Seleweng Minyak Diesel Ditahan
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

6 Mei 2025
KOTA KINABALU: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu cubaan menyeleweng diesel bersubsidi dalam operasi serbuan di Jalan SK Kionsom, Inanam, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, pasukan operasi berjaya menahan sebuah lori tangki yang membawa muatan 20,000 liter minyak diesel bernilai RM309,450.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya menahan sebuah lori tangki selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan 20,000 liter minyak diesel bersubsidi.
“Semasa ditahan, individu berusia 58 tahun terbabit gagal tunjukkan sebarang permit atau mana-mana dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Suspek terus ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
Katanya, aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi akan merugikan negara dari segi kehilangan hasil.
Comments