top of page

Lelaki Ditahan Curi Cincin Emas Adik Kandung Sendiri

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


2 April 2026


TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki mencuri cincin emas milik adik kandungnya sendiri dalam kejadian curi dalam bangunan di Batu 5, Jalan Apas, Tawau, baru-baru ini.


Suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada pagi Selasa di tepi Jalan Kampung Hidayat, kira-kira jam 10.15 pagi, oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, penahanan itu dibuat selepas mangsa yang juga adik suspek membuat laporan polis pada Sabtu lalu, jam 6.43 petang, apabila mendapati cincin emasnya hilang dari kediaman mereka sehari sebelumnya.


“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis berjaya mengesan serta menahan suspek yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan media semalam.


Menurut beliau, siasatan lanjut membawa pihak polis ke sebuah kedai emas di Jalan Chester, Tawau, pada jam 12.30 tengah hari yang sama, sekaligus merampas sebentuk cincin dipercayai milik mangsa serta sekeping resit jualan atas nama suspek.


Suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.


ACP Jasmin menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah, meskipun membabitkan ahli keluarga sendiri.

“Tiada kompromi dalam undang-undang. Semua kes curi akan disiasat sepenuhnya dan mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya.


Beliau turut menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keselamatan harta benda masing-masing, termasuk dalam kalangan ahli keluarga sendiri.


“Kes ini menjadi peringatan bahawa jenayah tidak mengenal hubungan kekeluargaan. Sekiranya berlaku kehilangan atau kejadian mencurigakan, laporkan segera kepada pihak polis,” ujarnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page