Lelaki Ditahan Pukul Bapa Sendiri
- nabalunews
- Jun 2
- 1 min read

2 Jun 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dilaporkan memukul bapanya sendiri menggunakan sebatang kayu hingga parah dalam kejadian di Kampung Pitas, Bombalai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun dikatakan memukul bapanya yang berusia 60-an tanpa sebab hingga parah di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Bombalai, dalam tempoh kurang dua jam selepas menerima laporan.
Katanya, suspek berjaya ditahan di kawasan perumahan pekerja di sekitar kawasan berkenaan.
“Ketika tangkapan hendak dilakukan, suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan.
“Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu ditahan mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Jasmin mengingatkan orang ramai supaya peka terhadap kesihatan mental dan kawalan emosi dalam kalangan keluarga masing-masing.
Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya sentiasa bertolak ansur dalam usaha menyelesaikan permasalahan dalam kalangan keluarga secara matang.
Commentaires