Lelaki ditahan selepas disyaki mencederakan isteri
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 1 min read

21 Disember 2025
TAWAU: Seorang pengawal keselamatan warga asing ditahan selepas dilaporkan mencederakan isteri dalam kejadian di Bukit Quoin, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian ini daripada mangsa, wanita berusia lingkungan 40-an.
Katanya, mangsa yang juga suri rumah mengalami kecederaan di bahagian lengan dan kaki akibat dipukul suaminya akibat salah faham antara mereka.
“Mangsa tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan dan tindakan lanjut selepas kejadian berkenaan.
“Bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, polis kemudian berjaya menahan suspek seorang lelaki warga asing berusia 45 tahun di sebuah perumahan ladang di Bukit Quoin, pada hari yang sama.
Jasmin berkata, suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes keganasan rumah tangga dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.














