Lelaki hilang, dikhuatiri dibaham buaya di Kota Marudu, belum ditemui
- nabalunews
- Sep 12, 2024
- 1 min read

12 September 2024
KOTA MARUDU: Seorang lelaki yang hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mandi-manda bersama anak saudaranya di sebuah sungai di Kampung Marudu Darat, Jalan Ranau-Ranau, di sini, semalam, masih belum ditemui dan gerakan mencari akan disambung semula pagi esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Hasbi Hajat berkata gerakan mencari mangsa yang dikenali Razis Amat, 35, ditangguhkan jam 5 petang tadi.
Katanya operasi mencari siang tadi melibatkan 9 anggota bomba menggunakan 2 bot dibantu 34 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam dan orang awam.
Operasi mencari yang bermula 9.47 pagi tadi bermula dari lokasi mangsa disambar buaya dengan mengikuti arus sungai sejauh 3 kilometer.
Bagaimanapun mangsa masih belum ditemui.
Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.07 petang semalam.
“Menurut maklumat awal dari pemanggil, terdapat dua mangsa melakukan aktiviti mandi manda di sungai berkenaan.
“Seorang mangsa remaja berusia 17 tahun selamat manakala seorang lagi berusia 35 tahun dikhuatiri dibaham buaya,” katanya semalam.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Comments