Lelaki Hilang Dikhuatiri Lemas
- nabalunews
- Oct 9
- 1 min read

9 Oktober 2025
KUDAT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang di laut ketika aktiviti memanah ikan di Kampung Pinggan-Pinggan, Pitas, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 42 tahun yang keluar mencari hasil laut bersama rakannya disedari hilang kira-kira jam 7 pagi tadi, sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari BBP Pitas untuk membantu.
“Mengikut laporan diterima, mangsa bersama seorang lagi rakan melakukan selaman untuk memanah ikan sebelum menyedari perahu yang dinaiki hanyut dibawa arus.
“Mangsa kemudiannya bertindak mengejar dan cuba mengambil perahu hanyut manakala rakannya pula naik ke atas bagang untuk menunggu mangsa.
“Bagaimanapun selepas menunggu beberapa ketika, mangsa masih tidak kelihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, rakan mangsa diselamatkan oleh orang kampung dan dimaklumkan perahu yang hanyut telah dijumpai di Pantai Terungguh, Pitas.
Katanya, setakat ini, mangsa masih gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat akan dijalankan pasukan operasi di lokasi sekitar.
“Sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.


















Comments