top of page

Lelaki hilang ketika menyelam ditemui lemas

  • nabalunews
  • Mar 13, 2025
  • 2 min read

13 Mac 2025


KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menangkap ikan di Sungai Kampung Pirasan, di sini, ditemui lemas, pagi tadi.


Mangsa Md Affendy Mujah, 29, yang disedari hilang kira-kira jam 1.30 pagi tadi, berjaya ditemui selepas lebih tujuh jam oleh penduduk kampung.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa ditemui oleh orang kampung kira-kira jam 08.30 pagi disekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, pasukan bomba bersama penduduk kampung kemudiannya mengangkat mangsa ke tepi sungai.


“Pasukan operasi kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Terdahulu dalam kejadian pagi tadi, mangsa dikatakan hilang semasa melakukan aktiviti menyelam mencari ikan di kawasan sungai berkenaan.


Muhammad Syazwan berkata, menurut pemanggil, mangsa bersama ahli keluarga melakukan aktiviti menyelam mencari ikan pada jam 1.20 pagi.


Bagaimanapun katanya, mangsa disedari hilang selepas tidak timbul 10 minit kemudian dan usaha mencari mangsa gagal.


“Bimbang dengan keadaannya, ahli keluarga mangsa terus menghubungi pihak bomba pada jam 2.19 pagi untuk mendapatkan bantuan.


“Sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah Surface.


“Pencarian dijalankan pada jarak sekitar 200 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Piasau, Jolyhame Saran berkata, kejadian itu merupakan kes ketiga yang direkodkan berlaku di Sungai Kadamaian sejak tahun lalu.


Katanya, sungai berkenaan sering menjadi tumpuan penduduk untuk menangkap ikan dan rekreasi, namun insiden lemas semakin membimbangkan.


“Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati terutama ketika melakukan aktiviti di sungai pada waktu malam atau ketika paras air meningkat.


“Pihak pengurusan kampung dan pihak berkuasa juga sudah meletakkan papan amaran sebelum ini memandangkan sudah dua kali kejadian lemas berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page