Lelaki hilang ketika tangkap ikan di sungai
26 November 2024
KOTA BELUD: Seorang lelaki hilang ketika keluar menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, di sini, pada Isnin.
Mangsa Noordin Punjuh, 51, dikatakan keluar rumah untuk menangkap ikan di sungai berkenaan, kira-kira jam 11 pagi semalam namun dilaporkan tidak pulang ke rumah.
Bimbang sesuatu berlaku, adik mangsa ke sungai berkenaan kira-kira jam 8 malam untuk mencari abangnya, namun hanya menemukan jala, beg pinggang, telefon bimbit, selipar, dan baldi dipercayai milik mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.28 pagi tadi.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 3 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapatkan maklumat daripada keluarga mangsa dan menjalankan operasi SAR bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan orang kampung.
“Kita menerima maklumat bahawa keluarga mangsa hanya menyedari kehilangannya setelah dia tidak pulang sehingga waktu petang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya operasi SAR turut disertai unit anjing pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.
“Pencarian dibuat di sekitar mangsa dikhuatiri hilang dengan radius sejauh lapan kilometer di sungai berkenaan.
Operasi mencari ditangguhkan jam 6 petang tadi dan akan disambung semula esok.
“Maklumat operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Comments