top of page

Lelaki Hilang Tujuh Hari Ditemui Selamat

  • nabalunews
  • Oct 21, 2025
  • 1 min read

21 Oktober 2025


TAWAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tujuh hari lalu ketika aktiviti memancing dan mencari hasil hutan di Batu 32, Jalan Kalabakan - Maliau Basin, bersama sepupunya, akhirnya ditemui selamat pagi tadi.


Mangsa yang kelihatan agak cengkung tetapi masih mampu berjalan sendiri tanpa bantuan, diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Kalabakan menaiki Ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa yang dikenali sebagai Khairul Saharin, 31, ditemui sekitar jam 7.43 pagi tadi di kawasan permatang sungai oleh Pasukan Gerakan Am - PGA (Platoon Tiger).


“Susulan penemuan mangsa, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang kini memasuki hari keenam ditamatkan pada jam 10.35 pagi,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, SAR yang dilancarkan sejak Khamis lalu itu, melibatkan lebih 100 orang terdiri daripada BBP Tawau, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, polis, PGA Ranger Komuniti, APM, Unit K9 PDRM, Pasukan Gerakan Udara (Dron) dan 70 penduduk kampung.


Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang oleh sepupunya selepas mereka berpisah untuk kembali ke khemah sekitar jam 4 petang pada Selasa minggu lepas dan tidak pulang ke rumah sehingga laporan polis dibuat pada Rabu.


Jemishin berkata, dalam laporan itu, pemanggil menyatakan dia dan mangsa berpisah semasa hendak pulang semula ke tapak perkhemahan mereka dan dia turut cuba menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp untuk menjejaknya.


Bagaimanapun, mangsa dikatakan memberitahu sepupunya itu bahawa bateri telefonnya hampir kehabisan sebelum kemudiannya gagal dihubungi, dipercayai bateri telefonnya habis.


Sepupu mangsa juga dikatakan cuba melakukan pencarian tetapi gagal menemuinya kerana keadaan cuaca hujan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page