top of page

Lelaki Maut Ditembak Di Hutan Simpan Ulu Kukut

  • nabalunews
  • Mar 2
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


2 Mac 2026


KOTA BELUD: Seorang lelaki maut dipercayai akibat kecederaan tembakan dalam kejadian di Hutan Simpan Stesen SAFODA, Ulu Kukut, malam semalam.


Suspek berusia 35 tahun yang bersama mangsa ketika kejadian telah ditahan bagi membantu siasatan.


Mangsa, lelaki tempatan berusia 44 tahun, ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 7.17 malam 28 Februari 2026 selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti memburu di kawasan berkenaan.


Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kota Belud bagi menentukan punca sebenar kematian.


Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian melalui MERS 999 sebelum melancarkan operasi ke lokasi.


Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat tembakan, berbeza dengan laporan awal yang menyatakan mangsa terjatuh.


Polis telah merampas selaras senapang jenis bakakuk bagi tujuan analisis forensik dan balistik. Senjata tersebut dipercayai milik suspek yang turut bersama mangsa semasa kejadian.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan pihak polis.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud atau talian hotline polis 999.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page