Lelaki maut ditetak warga asing
nabalunews

20 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Seorang lelaki rakyat tempatan berusia 58 tahun maut ditetak dalam kejadian sekitar pukul 10.57 malam pada Khamis di Jalan Lingkudau, Taman Juta di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Suprentendan Polis (DSP) Alizam Dalaman mengesahkan kejadian itu.
Katanya, hasil siasatan polis, mangsa ditetak di tangan kanan menggunakan sebilah pisau oleh suspek, seorang lelaki warga asing berumur 40an menyebabkan mangsa mengalami pendarahan teruk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sebelum kejadian, mangsa dan isterinya
telah membantu isteri suspek untuk membuat laporan polis di Balai Polis Keningau.
Ketika membuat laporan polis, isteri suspek dihubungi oleh anaknya bahawa ayahnya sedang dalam keadaan marah di rumahnya.
Mangsa bersama anak lelakinya berumur 7 tahun menaiki kereta untuk balik ke rumahnya manakala isterinya menaiki kereta peronda polis MPV.
Isteri suspek pula pulang ke rumahnya dengan berjalan kaki bagi meredakan kemarahan suaminya.
Semasa dalam perjalanan balik ke rumahnya, mangsa terserempak dengan suspek dan berlaku pergaduhan.
Suspek bertindak menetak tangan kanan mangsa sehingga menyebabkan pendarahan teruk.
Pergaduhan tersebut disaksikan anak lelaki mangsa berumur 7 tahun yang berada di tempat duduk sebelah penumpang.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.
Manakala suspek pula telah melarikan dan kini diburu polis.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesksaan kerana membunuh.
Comentários