top of page
nabalunews

Lelaki maut, rakan cedera kenderaan terjunam dalam sungai ketika hendak hantar ikan

3 November 2024


TAWAU: Seorang lelaki maut, manakala rakannya pemandu kereta, 31, hanya cedera ringan apabila kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai ketika hendak menghantar ikan ke Pasar Ikan Tawau, dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa, 32, disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau ketika mendapatkan rawatan, manakala, mangsa cedera yang memandu kereta tersebut, ditahan untuk membantu siasatan.


Katanya, mangsa maut merupakan pembantu kepada pemandu kereta jenis Isuzu D-Max tersebut yang duduk di kerusi penumpang.


Menurutnya, siasatan polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa berkenaan dalam perjalanan dari Kudat ke Pasar Ikan Tawau dengan membawa muatan pelbagai jenis ikan.


Bagaimanapun, katanya, apabila sampai di tempat kejadian, pemandu yang dipercayai memandu dengan laju menyebabkan kereta hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan, dan melanggar penghadang besi jambatan lalu terjunam ke dalam sungai.


“Salah seorang daripada mangsa dikeluarkan oleh orang awam, manakala seorang lagi diselamatkan oleh pasukan bomba dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Tawau oleh ambulans untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.


Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa memandu secara berhemah dan  mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta pengguna jalanraya yang lain.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, sepasukan lapan pegawai dan anggota serta dua jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.29 pagi menerusi MERS999.


Katanya, salah seorang mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan diangkat tebing sungai sebelum ketibaan Bomba, manakala, mangsa kedua yang cedera ringan diberikan rawatan awal oleh pasukannya sebelum kedua-duanya dihantar ke hospital.

Comments


bottom of page