top of page

Lelaki Mengamuk Kurung Isteri Dan Anak, Ugut Bunuh Ditahan

  • nabalunews
  • Apr 27
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


27 April 2026


TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas mengamuk dan mengurung isteri serta tiga anaknya sambil mengugut untuk membunuh dalam kejadian selama tujuh jam di sebuah rumah pekerja ladang di Kalabakan, Khamis lepas.


Suspek berusia 39 tahun itu akhirnya dilumpuhkan dengan Taser Gun dan ditahan kira-kira jam 10.30 pagi keesokan hari, setelah polis mengambil masa tujuh jam untuk memujuk dan menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, pihak polis menerima maklumat sekitar jam 8.30 malam selepas suspek bertindak agresif di rumahnya.

"Suspek dipercayai dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah. Dia mengunci isteri dan tiga anaknya di dalam rumah, mengugut sesiapa yang cuba masuk, serta membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan," katanya.


Sementara itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintenden Polis (DSP) Zulham Affendi Zulkifli bersama anggota Balai Polis Kalabakan digerakkan ke lokasi.


Pemeriksaan mendapati keadaan rumah gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya seperti parang, sabit serta paip besi.

Turut dirampas dua bilah sabit, sebilah parang, pemutar skru, besi loading, dan empat batang paip besi.


Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mencederakan dengan senjata atau cara berbahaya).


Kes disiasat mengikut Seksyen 342 (kurungan salah) dan Seksyen 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan.


Polis menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang ancaman, keganasan rumah tangga atau individu di luar kawalan demi tindakan segera.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page