top of page

Lelaki mengamuk ugut isteri dengan parang

  • nabalunews
  • Sep 19
  • 1 min read

Lelaki mengamuk ugut isteri dengan parang ditahan polis Tawau, semalam.
Lelaki mengamuk ugut isteri dengan parang ditahan polis Tawau, semalam.

19 September 2025


TAWAU: Seorang lelaki tempatan, 41, yang dilaporkan mengamuk sambil mengugut mahu membunuh isterinya dengan sebilah parang dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Jalan Apas pada Rabu lalu, ditangkap polis, semalam.


Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, suspek dikatakan mengamuk sambil mengeluarkan kata-kata ugutan serta memegang sebilah parang di dalam rumah.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek tersebut mendakwa kononnya terdapat individu lain mengintainya dari luar rumah sambil dia menyelak langsir ruang tamu.

ree

“Situasi tegang itu memuncak apabila suspek menjerit dan mengancam isterinya (mangsa) dengan kata-kata mahu membunuh serta menetaknya menggunakan parang yang dipegangnya itu,”katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, susulan laporan polis dibuat mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek sekitar jam 8 malam di perkarangan IPD Tawau.


Polis turut merampas sebilah parang, seutas kunci kereta serta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux untuk tujuan siasatan.


Jasmin berkata, siasatan lanjut kes itu kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, manakala semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah sebelum ini.


Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengawal emosi dan tidak bertindak di luar kawalan sehingga mengancam keselamatan ahli keluarga mereka sendiri.


Tegasnya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan ugutan atau tindakan ganas.


“Orang ramai yang menghadapi tekanan dinasihatkan mendapatkan bantuan sewajarnya bagi mengelakkan tragedi tidak diingini,”katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page