top of page

Lelaki Miliki Syabu, Tunggang Motorsikal Curi Ditahan Polis di Tawau

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


6 April 2026


TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ditahan polis kerana memiliki dadah jenis syabu dan menunggang motorsikal curi dalam satu rondaan cegah jenayah di Lorong Muhibbah BAL, Jalan Kuhara, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komosioner Polis (ACP) Jasmin Hussin mengesahkan bahawa suspek ditahan kira-kira jam 3.30 pagi oleh pasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau. Lelaki itu cuba melarikan diri ketika hendak diperiksa, namun berjaya diberkas dengan menggunakan kekerasan minimum.


Hasil pemeriksaan ke atas beg silang suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu. Manakala pemeriksaan ke atas motorsikal Yamaha 135LC hitam yang ditungganginya mendapati nombor pendaftaran palsu dan telah dilaporkan hilang pada 4 April lalu di daerah yang sama.

Suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah. Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan (kesalahan curi motorsikal).


Polis menasihatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page