Lelaki Peras Ugut Mangsa Ditahan
- nabalunews
- May 22, 2025
- 1 min read

22 Mei 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa memeras ugut seorang mangsa kerana kononnya mengganggu perniagaannya, semalam.
Malah lelaki berusia 39 tahun terbabit turut meminta mangsa memindahkan wang kepadanya bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Sebaik ditahan, semakan rekod jenayah lampau mendapati, lelaki terbabit pernah disabit kesalahan sama dan tersenarai sebagai ‘Orang Dikehendaki’ di negeri lain.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa diugut oleh suspek menerusi panggilan telefon.
Katanya, suspek menuduh mangsa mengganggu perniagaannya dan mengugut akan memancung kepala mangsa.
“Oleh kerana takut akan ugutan itu, mangsa kemudiannya memasukkan sejumlah wang bernilai RM3,000 ke dalam sebuah akaun atas penama perniagaan.
“Tidak lama kemudian, suspek sekali lagi menghubungi mangsa untuk meminta wang sekitar RM1,500 kononnya bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, mangsa yang menyedari dirinya tertipu terus tampil ke balai untuk membuat laporan polis.
“Atas maklumat awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau berjaya menahan seorang suspek untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara yang boleh mencapai sepuluh tahun, atau denda, atau rotan, atau mana-mana gabungan hukuman berkenaan,” katanya,
Jasmin berkata, semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek juga pernah disabitkan dengan kesalahan yang sama dan diletakkan sebagai “Wanted Person” di negeri lain.















Comments