Lelaki Rakam Jiran Wanita Ditahan Polis
- nabalunews
- Jul 25, 2025
- 1 min read

25 Julai 2025
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai merakam video jiran wanita dalam kejadian di Kampung Merotai Besar, semalam.
Dalam kejadian berkenaan, warga asing berusia 26 tahun itu berjaya ditahan di kawasan Pekan Merotai Besar selepas laporan polis dibuat mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan laporan mangsa, wanita terbabit yang berada di dalam biliknya ketika kejadian sebelum terkejut apabila menyedari diri dirakam.
Katanya, mangsa terus menjerit untuk meminta pertolongan daripada jiran sebelum tampil membuat laporan polis susulan kejadian itu.
“Sepasukan anggota dan pegawai daripada Balai Polis Bombalai berjaya mengesan suspek di kawasan Pekan Merotai Besar.
“Semasa tangkapan dibuat, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek merupakan warganegara asing yang tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Suspek terus dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.















Comments