top of page
  • nabalunews

Lelaki simbah cat merah didenda RM3, 500 atau 1 tahun penjara

30 Ogos 2024 

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Lelaki yang ditangkap kerana menyimbah cat merah dan menampal notis ugutan di sebuah rumah di daerah ini Sabtu lalu, didenda RM3, 500 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.


Lelaki warga tempatan, Mohd Abdul Haireen Mohd Ilham, 29, turut diperintahkan mahkamah untuk menjalani hukuman penjara satu tahun, jika gagal membayar denda tersebut.


Hukuman itu dijatuhkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas tertuduh membuat pengakuan salah terhadap perbuatan khianat yang dilakukannya itu.


Tertuduh didakwa menyimbah cat merah dan menampal notis ugutan di sebuah rumah di Batu 6, Jalan Apas, jam 2.30 petang pada 24 Ogos lalu dan mengakibatkan seorang mangsa lelaki, 27, rugi lebih RM25.


Pendakwaan terhadap lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Menurut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan khianat tersebut dengan menyimbah cat merah ke pintu dan dinding rumah mangsa serta melekatkan satu kertas ditulis 'hutang wang dibayar wang' yang turut tertera nombor telefon, nama dan kad pengenalan mangsa.


Tertuduh juga menerima bayaran bagi melakukan perbuatan itu yang dibayar secara atas talian ke dalam akaun Touch N Go miliknya.


Pada Julai 2022, mangsa pernah membuat pinjaman wang secara atas talian sebanyak RM300 dan hanya menerima RM150 sahaja serta sudah menyelesaikan semua pinjaman pada Ogos 2022 sebanyak RM600.


Bagaimanapun, mangsa menerima ugutan menerusi pesanan suara aplikasi WhatsApp di antara pemberi pinjam wang dengan bapanya yang mengugut mahu membakar kereta keluarganya.


Prosiding pendakwaan dikendalikan Assisten Superintendan Jeffrey Kadisun, manakala, peguam Jhasarry P. Kang mewakili tertuduh menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

コメント


bottom of page