Lelaki Terlibat Kes Tipu Jual Beli Emas Ditahan
- nabalunews
- Apr 19
- 1 min read

18 April 2025
PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan polis Khamis lalu, selepas dipercayai menjadi dalang kes penipuan melibatkan jual beli emas menggunakan resit palsu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton berkata, suspek berusia 42 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Katanya, suspek warga tempatan itu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan jual beli emas.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan kerugian hampir RM8,000 selepas menyerahkan emas kepada suspek selepas ditunjukkan bukti bayaran palsu melalui aplikasi perbankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sammy berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun.
Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada ketika berurusan dengan mana-mana pihak.
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan terperinci sebelum menyerahkan barangan kepada pembeli khususnya dalam urus niaga atas talian.
Comentários