top of page
  • Wartawan Nabalu News

Letusan gunung berapi lumpur di Tabin Lahad Datu bukan “luar biasa”


19 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Letusan gunung berapi lumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin Lahad Datu yang tular di media sosial semalam dan dianggap sebagai “luar biasa” sebenarnya adalah fenomena biasa.


Pakar geologi Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul berkata, fenomena letusan gunung berapi lumpur itu adalah perkara biasa.


Beliau berkata, gunung berapi lumpur terbentuk berikutan kewujudan lumpur dan tekanan yang kuat ratusan meter di bawah tanah serta rekahan batuan membolehkannya keluar di permukaan bumi.


“Ia tiada kaitan dengan letusan gunung berapi yang mengeluarkan lahar panas dari perut bumi seperti sering berlaku di Filipina dan Indonesia. Gunung berapi lumpur hanya mengeluarkan lumpur berwarna kelabu bercampur air yang boleh dipegang dan tidak memudaratkan,” katanya.


Gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin yang tular di media sosial bukan pertama kali berlaku sebaliknya pernah berlaku pada 2014.


Sementara itu, Pengurus Besar Tabin Wildlife Holidays, Lawrence Chin berkata, kejadian semalam disaksikan kira-kira lapan individu termasuk pelancong serta pemandu pelancong.


Katanya, letusan itu berlaku kira-kira 10 minit, disedari oleh beberapa pemandu pelancong dan pelancong yang dalam perjalanan memerhati burung dan melawat kawasan itu.


Kewujudan gunung berapi lumpur bukan sesuatu yang baharu di Sabah, malah selain di Tabin, ia juga boleh ditemui di daerah lain dengan antara yang popular di Taman Pulau Tiga, Kuala Penyu.


Malah, Pulau Tiga yang kini menjadi tarikan pelancongan di Sabah dikatakan terbentuk hasil daripada letusan gunung berapi lumpur pada 1897 berikutan gempa bumi di Mindanao, selatan Filipina.

Comments


bottom of page