LIAWAN TATAP KEDEPAN: Wilson Gan Bentang Visi Berasaskan Anak Muda Untuk Transformasi Keningau
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 2 min read

26 November 2025
KENINGAU: Keningau berada di detik genting dalam proses pembangunannya membuatkan calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) N41 Liawan, Wilson Gan, 37, menawarkan diri dengan membentangkan tiga visi utama yang bertema “Keningau Tatap Kedepan”
Ia demi untuk memanfaatkan potensi daerah ini dengan mewujudkan peluang untuk belia, memperkukuh industri tempatan dan membangunkan daerah yang lebih moden serta mampan.
Wilson berkata, beliau komited untuk menjadi wakil rakyat yang proaktif dengan memastikan penyelenggaraan asas seperti parit, jalan raya dan lampu jalan diselenggara dengan baik selain serta isu infrastruktur ditangani dengan segera.
Katanya, sebagai petani tempatan dan pemimpin komuniti, beliau menekankan Keningau memerlukan perubahan yang segar dan anak muda Keningau sudah bersedia untuk merebut peluang lebih besar.
“Antara yang diusulkan adalah Hab Keusahawanan Keningau di mana saya berhasrat menubuhkan Pusat Keusahawanan Keningau sebagai pusat pembangunan perniagaan dengan menawarkan program latihan berstruktur serta sokongan inkubasi perniagaan dan perkhidmatan rundingan one-stop.
“Visi ini termasuk jaringan mentor yang menghubungkan usahawan muda dengan pemimpin industri, serta latihan kemahiran digital dalam e-dagang dan pemasaran digital,” katanya.
Selain itu menurutnya, turut dicadangkan Hab Makanan dan Industri Asas berdasarkan pengalaman langsung sebagai pemilik kebun sayur dan pengurus ladang kelapa sawit.
Katanya, beliau mencadangkan hab pengumpulan pertanian berpusat bagi membolehkan petani menghantar hasil untuk digred, diproses dan dipasarkan terus kepasaran lebih luas.
“Pembangunan pusat pemprosesan down-stream akan menambah nilai kepada hasil tempatan dan mewujudkan asas ekonomi lebih mampan.
“Begitu juga dengan visi mewujudkan Bandar Pintar Progresif yang memfokuskan kepada penambahbaikan kehidupan harian melalui teknologi, termasuk sistem pengangkutan awam digital untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Ia termasuk pengurusan bandar digital untuk laporan isu lebih pantas serta menaik taraf infrastruktur komuniti seperti kawasan rekreasi mesra keluarga dan taman awam,” katanya.
Sementara itu, Wilson lberkata, beliau aktif melalui penglibatan dalam organisasi NGO seperti Lions Club of Keningau Mandarin, St John Ambulance Malaysia, dan Junior Chamber International.
Katanya, beliau juga sering mengendalikan program-program yang termasuk latihan keusahawanan, kempen derma darah tahunan, kutipan dana perubatan, dan program pemadanan biasiswa di Keningau.
"Dengan kepercayaan rakyat, saya berhasrat membawa penambahbaikan berimpak tinggi dalam kehidupan rakyat Keningau.
“Keningau yang lebih maju dapat direalisasikan. Liawan yang lebih kukuh boleh dicapai. Mari kita maju ke depan bersama,” katanya.


















Comments