top of page

Lima Lelaki Ditahan Berhubung Kejadian Ugut Dan Pecah Cermin Kereta Di Jesselton Quay

  • nabalunews
  • Mar 29
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


29 Mac 2026


KOTA KINABALU: Polis telah menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian khianat dan ugutan jenayah yang tular di media sosial, membabitkan seorang guru lelaki berusia 30 tahun di kawasan lampu isyarat berhampiran Jesselton Quay, semalam.


Mangsa dilaporkan mengalami kerosakan pada cermin bahagian pemandu dan cermin belakang kenderaannya selepas dikejar dan dilanggar secara tidak sengaja ketika cuba melarikan diri daripada provokasi sekumpulan individu.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu dalam kenyataan media mengesahkan bahawa satu laporan polis telah diterima pada 28 Mac 2026, kira-kira jam 2.35 petang. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.45 petang pada hari yang sama.


Menurut siasatan awal, mangsa baharu selesai menghadiri majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Ketika menuju ke kenderaannya di kawasan parkir berhampiran gudang sebuah syarikat kurier di Pelabuhan Kota Kinabalu, dia berhadapan dengan beberapa individu yang dipercayai pekerja premis berkenaan.


Berlaku provokasi lisan sehingga keadaan menjadi tegang. Mangsa kemudian bertindak mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja terlanggar sebuah kenderaan lain. Beberapa individu mengejar kenderaan mangsa, memecahkan cermin kenderaan, serta mengugut mangsa supaya keluar dari kereta.


Polis telah menjalankan operasi segera dan berjaya menahan semua suspek. Permohonan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 427 (khianat menyebabkan kerosakan) dan Seksyen 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan.


Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan adil, serta menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page