Lingkaran Kasih, Sulaman Budi: Persaraan Cikgu Musili Sungkoling Disambut Penuh Penghargaan

25 Jun 2025
KOTA BELUD : Majlis persaraan yang penuh rasa syukur dan penghargaan telah diadakan bagi meraikan jasa dan sumbangan pendidik berpengalaman, Musili Sungkoling, yang berlangsung meriah di Dewan Terbuka Kampung Kaung Ulu, Kota Belud, pagi tadi.
Bertemakan “Lingkaran Kasih, Sulaman Budi”, acara ini menandakan penutup tirai kerjaya gemilang beliau dalam dunia pendidikan yang menjangkau lebih 40 tahun.
Majlis dimulakan tepat jam 7.30 pagi dengan perarakan masuk tetamu kehormat, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

Bacaan doa oleh Ustaz Muhammad Luqman Hakim menambah kesyahduan suasana, sebelum diteruskan dengan ucapan wakil murid, adik Cherlyn May Hillary, dan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Kaung, Jimri Santi.
Antara momen paling menyentuh hati ialah ucapan perpisahan oleh Musili sendiri, yang penuh emosi dan kenangan manis sepanjang perkhidmatannya. Tayangan montaj video perjalanan karier beliau turut menyentuh perasaan hadirin, menggambarkan dedikasi dan komitmen tinggi beliau terhadap dunia pendidikan.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan fail serah tugas secara rasmi serta penyampaian cenderamata daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai tanda penghargaan. Upacara simbolik potongan kek hari lahir dan persaraan turut menyemarakkan suasana majlis.

Pelbagai persembahan turut dipersembahkan, termasuk deklamasi sajak dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, serta persembahan khas bertajuk “Dari Ku Untuk Mu” oleh para murid, yang menyentuh hati dan menggambarkan kasih sayang terhadap guru tersayang.
Sebagai penghormatan terakhir, hadiah turut disampaikan oleh pihak PIBG, rakan-rakan guru serta para pelajar sebagai simbol terima kasih atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan oleh Musili.
Sepanjang 40 tahun dalam dunia pendidikan, Musili telah berkhidmat di tiga buah sekolah – 4 tahun di SMK Narinang, 13 tahun di SK Marakau, dan 23 setengah tahun di SK Kaung – serta menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali atas dedikasi dan kecemerlangan beliau.
Persaraan beliau bukan sekadar satu perpisahan, tetapi merupakan penutup kepada sebuah perjalanan yang penuh makna, dedikasi dan kasih sayang terhadap anak didik serta dunia pendidikan.















Comments