Lions Club Kota Kinabalu Agih 220 Bakul Makanan di Bengkoka
- nabalunews
- Feb 11
- 1 min read

11 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KUDAT: Lions Club Kota Kinabalu mengagihkan sebanyak 220 bakul makanan kepada penduduk di beberapa kampung di kawasan Bengkoka yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.
Antara kampung yang menerima bantuan adalah Kampung Kabatasan Laut, Kinango, Mandamai, Mandamai Bai, Sinukab, Masin Besar, Masing Kecil, Kutoyon, Kanibongan, Desa Seberang, Boribi Laut, dan Kampung Ranggal.
Ketua program Alyssa Lim Kennedy berkata, sumbangan bertujuan untuk meringankan beban penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Katanya, usaha penyampaian bantuan diselaraskan oleh Pengerusi Koperasi Kraftangan Kampung Sinukab Kanibongan Berhad, Junsim Rumunzing.
“Kita memahami, kesukaran yang terpaksa dihadapi penduduk kampung setiap kali berlakunya bencana banjir.
“Oleh itu, kita berbesar hati untuk tampil membantu bagi meringankan bebanan penduduk yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Junsim yang juga Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat berkata, beliau amat menghargai insiatif sumbangan yang disampaikan oleh Lion Club Kota Kinabalu.
Katanya, usaha mereka dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan ini sememangnya satu usaha yang mulia.
"Kami sangat menghargai sumbangan ini kerana ia membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini," kata Junsim.
“Penduduk kampung yang menerima bantuan turut menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan pihak Lions Club Kota Kinabalu.
“Bantuan ini bukan saja memberikan kelegaan kepada mereka yang terjejas tetapi juga menunjukkan semangat solidariti dalam membantu sesama masyarakat ketika menghadapi kesukaran,” katanya.
Menurut Junsim, program seperti ini menjadi contoh bagaimana badan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan penting dalam membantu komuniti.
“Dengan adanya sokongan dan kerjasama antara pelbagai pihak, lebih ramai individu yang terjejas dapat dibantu dan dipulihkan,” katanya.
Comments