top of page

LKIM Perkasa Penyaluran Subsidi Nelayan Sabah Melalui Aplikasi MyMinyak

  • nabalunews
  • Dec 20, 2025
  • 1 min read

20 Disember 2025


KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkukuh sistem penyaluran subsidi nelayan melalui pelaksanaan Aplikasi MyMinyak LKIM.


Ia sebagai langkah memastikan pengagihan subsidi diesel dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan terkawal.


Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada penggunaan Aplikasi MyMinyak sebagai pengganti kepada peranti mudah alih (PDA) di Pusat Jualan Diesel (PJD) serta Stesen Petrol Bersubsidi Nelayan.

Katanya, ia selaras dengan usaha pendigitalan perkhidmatan LKIM bagi mengurangkan risiko ketirisan subsidi.


“Pelaksanaan aplikasi MyMinyak ini merupakan pendekatan proaktif LKIM untuk memastikan subsidi diesel disalurkan tepat kepada kumpulan sasar.


“Selain itu, ia juga membantu memudahkan pemantauan dan kawalan di peringkat lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus (SLU) bersama Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Negeri Sabah yang berlangsung di Hotel Ming Garden, di sini, semalam.


Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan (PMN), Norfajarwati Baharudin, Pengarah LKIM Negeri Sabah, Mohd Jamil @ Jomiun Abdullah serta pengurus-pengurus Persatuan Nelayan dan wakil persatuan.


Hamdan berkata, bermula awal Disember lalu, penggunaan aplikasi MyMinyak diperluaskan secara berperingkat ke semua PJD di seluruh negara.


“Di Sabah pula, semua PJD dan stesen petrol bersubsidi nelayan akan menggunakan aplikasi tersebut sepenuhnya bermula 20 Disember 2025.


“Prestasi pelaksanaan MyMinyak setakat ini, menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan,” katanya.


Sehubungan itu, Hamdan menyeru semua pemilik kapal nelayan di Sabah agar terus memberikan kerjasama padu dalam menjayakan proses pendigitalan ini.


Katanya, ia demi memastikan manfaat subsidi benar-benar dinikmati oleh golongan nelayan yang layak.


Untuk rekod, sehingga 17 Disember lalu, seramai 12,179 nelayan telah berdaftar dengan jumlah penggunaan diesel mencecah 21.7 juta liter, bernilai RM35.9 juta.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page