LKTNS salur RM4.62 juta lebihan pendapatan kepada 300 peneroka Wilayah Timur
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

25 Januari 2026
SANDAKAN: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menyalurkan lebihan pendapatan berjumlah RM4.62 juta bagi tahun 2025 kepada 300 peneroka di Wilayah Timur.
Ia mencerminkan peningkatan prestasi pengurusan ladang dan hasil pertanian sawit di kawasan berkenaan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 184 peneroka di Sungai Manila menerima RM3.3 juta, diikuti 12 peneroka di Suan Lamba berjumlah RM180,000, manakala peneroka Ulu Dusun menerima RM280,000.

Agihan berkenaan akan dibuat secara berperingkat bermula akhir Januari hingga awal Februari 2026.
Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R Joddari berkata, peningkatan lebihan pendapatan itu adalah hasil usaha bersepadu melibatkan pengurusan ladang yang lebih tersusun, kawalan kos yang berkesan serta peningkatan ketara hasil ladang.
“Purata pendapatan peneroka bagi tahun 2025 mencecah RM1,910 sebulan, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan LKTNS,” katanya.

Menurutnya, pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) di kawasan Sandakan dan Sukau turut mencatat peningkatan hampir 18 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan peneroka.
Katanya, pencapaian itu turut didorong oleh sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui peruntukan geran RM2.5 juta bagi baja serta RM2.36 juta untuk penambahbaikan jalan ladang.
“Jalan ladang yang lebih baik mempercepatkan penghantaran hasil ke kilang, manakala penggunaan baja berkualiti bukan sahaja mengurangkan kos operasi peneroka, malah meningkatkan produktiviti pokok sawit secara berterusan,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan agihan lebihan pendapatan itu membuktikan komitmen LKTNS dalam meningkatkan kesejahteraan peneroka serta memperkukuh produktiviti ladang, selaras dengan usaha memperkasa ekonomi komuniti luar bandar di Wilayah Timur Sabah.
Syaheddrul turut berharap agihan itu dapat menyuntik motivasi kepada peneroka untuk terus meningkatkan hasil serta memastikan kelestarian industri sawit di kawasan berkenaan.
Terdahulu majlis simbolik penyerahan lebihan pendapatan itu disempurnakan Pengerusi LKTNS, Datuk Abdul Ghani Mohamad Yassin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Nabawan.
Turut hadir ADUN N.51 Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, di Pejabat Ladang Sungai Manila, di sini pada Sabtu.


















Comments