Longgarkan SOP PRN Johor: Anwar
top of page
  • Farah Salim

Longgarkan SOP PRN Johor: Anwar



2 Mac 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.


Beliau berkata, SOP yang lebih adil seharusnya dilaksanakan oleh kerajaan kerana ia merupakan keputusan mereka untuk membubarkan Dewan Undngan Negeri (DUN) Johor.


“Sebab itu saya minta PM melihat semula SOP supaya beri keadilan, mereka yang putuskan untuk mengadakan pilihan raya, mereka harus sedia terima SOP yang lebih adil,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.


Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri semalam dan perdana menteri telah menyatakan persetujuan untuk melonggarkan SOP dalam kempen PRN Johor.


"PM di dalam pertemuan dengan kita setuju dilonggrkan sedikit (SOP). Pilihan raya kita tak setuju, ada orang kata kita takut, tapi masalahnya ada pilihan raya tak boleh kempen, kempen 100 orang, tempat (pula) dalam dewan.


“Kita setuju ada SOP, penjarakan fizikal, mesti pakai mask saya setuju, tapi kena bagi kelonggaran. Dengan keterbatasan, kita tidak ada jentera dan caranya untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat melalui ceramah-ceramah,” katanya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu meluahkan rasa kesal apabila pihaknya dikenakan notis kompaun RM3,000 atas tiga kesalahan melanggar SOP ketika menyampaikan ceramah di Johor semalam.


"Semalam saya hadir ceramah di johor, didenda kompaun RM3,000 atas atas kesalahan, pertama penceramah tak pakai mask, sedangkan dalam parlimen, kita tak pakai mask.


“Kedua, tak ada lorong masuk dan keluar, sedangkan ceramah di dewan, nak masuk ke mana, keluar ke mana.


“PM berjanji, saya tanya semalam kepada PM, bolehkah kita kempen sampai 11 malam, dan PM cakap kenapa tak sampai 12 malam, apa beza Covid 11 malam dan 12 malam,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page