top of page

Lori Dagangan Disita JPJ Tawau Akibat Pelbagai Kesalahan

  • nabalunews
  • 38 minutes ago
  • 2 min read

20 Februari 2026


TAWAU: Sebuah lori perdagangan jenis UD Trucks RKE150 telah ditahan dan disita oleh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Kenderaan Perdagangan (KPB) yang dijalankan di Jalan Kuhara, Tawau, semalam.


Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kenderaan tersebut melakukan beberapa pelanggaran serius di bawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Antara kesalahan yang dikesan termasuk pemandu kenderaan dikesan tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Barangan (GDL) yang sah. Pemeriksaan lanjut turun mendapati kenderaan tersebut membawa muatan secara berbahaya selain tidak disenggara dengan baik.


Tindakan tegas diambil terhadap pemilik kenderaan selepas pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan sukar dikenal pasti serta pemasangan aksesori yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Susulan pelanggaran tersebut, kenderaan berkenaan telah dibawa ke Depoh Sita JPJ untuk tindakan lanjut mengikut prosedur undang-undang.


JPJ dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kenderaan perdagangan yang ingkar, termasuk kesalahan di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (ALPKP 1987 / Akta 334). Tindakan tegas akan terus diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk pemilikan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah, Permit Operasi, serta had muatan yang dibenarkan.


Menurut Seksyen 51(1), Akta 334, kesalahan membawa muatan melebihi 50 peratus daripada Berat Dengan Muatan (BDM) juga boleh membawa kepada tindakan penyitaan kenderaan. Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya kenderaan yang patuh undang-undang dan berada dalam keadaan selamat dibenarkan berada di jalan raya.


JPJ menegaskan bahaya sikap sambil lewa terhadap penyelenggaraan kenderaan perdagangan bukan sahaja mengundang tindakan undang-undang tetapi turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Pihaknya tidak akan berunding dengan sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan awam.


Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan pelanggaran trafik dan penguatkuasaan JPJ boleh menyalurkannya terus melalui aplikasi e-Aduan@JPJ (MyJPJ) atau menerusi laman web http://jpj.spab.gov.my (SISPAA JPJ) dengan menyertakan butiran pengadu dan maklumat aduan yang lengkap.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page