top of page
Wartawan Nabalu News

LPKP SABAH MINTA PEMANDU TEKSI, KERETA SEWA DAN BAS MOHON BANTUAN PEMERKASAAN PLUS


Pengerusi LPKP Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung

18 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Semua pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, bas persiaran serta e-hailing di Sabah yang layak diminta menghantar permohonan bantuan PEMERKASA Plus kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.


Pengerusi LPKP Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung berkata, ini penting agar nama mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan tersebut.


Beliau berkata, kerajaan sedar kesulitan kumpulan pemandu di Sabah disebabkan pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dilaksanakan menyebabkan kebanyakan mereka terjejas punca pendapatan.


“Oleh itu, saya menggesa agar semua kategori pemandu, kecuali e-hailing untuk membuat permohonan dengan kadar segera menerusi laman web LPKP Sabah http://www.lpkpksabah.gov.my/pemerkasa/ atau melalui pautan laman Facebook Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah.


“Manakala untuk pemadu e-hailing, senarai nama pemandu perlu dikemukakan oleh syarikat pengendali e-hailing (EHO) masing-masing kepada LPKP Sabah untuk proses saringan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Menurut Chin, sejak permohonan bantuan PEMERKASA Plus dibuka, LPKP Sabah telah menerima sebanyak 176 permohonan baharu iaitu 81 permohonan bagi pemandu teksi, 48 permohonan pemandu kereta sewa, 15 permohonan pemandu bas sekolah serta 32 permohonan pemandu persiaran.


“Kita menjangkakan lebih ramai lagi yang akan menghantar permohonan dalam masa terdekat kerana berdasarkan kepada rekod permohonan bantuan sebelum ini, LPKP Sabah telah menerima sebanyak 5,262 permohonan e-hailing (2,919 lulus saringan), 3,394 permohonan teksi dan kereta sewa (1,910 lulus saringan) bagi Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP).


“Manakala bagi Bantuan Permai pula LPKP Sabah telah menerima sebanyak 444 permohonan dari pemandu bas sekolah serta 541 permohonan dari pemandu bas persiaran.


“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 400 permohonan pemandu bas sekolah telah serta 411 permohonan bas persiaran telah lulus saringan,” katanya lagi.


Dalam pada itu, Chin turut mengingatkan pemandu teksi dan e-hailing di Sabah yang dibenarkan beroperasi agar lebih peka terhadap sebarang perubahan Standard Operating Procedure (SOP) dan peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat, negeri serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).


“Sebagai contoh masih ramai pengusaha teksi dan e-hailing keliru dengan SOP iaitu bagi jumlah penumpang yang dibenarkan adalah dua orang termasuk pemandu. Ini bermaksud, hanya seorang sahaja penumpang dibenarkan dalam teksi atau e-hailing kecuali jika terdapat kecemasan.


“Oleh itu adalah penting bagi semua pihak terlibat untuk sentiasa mengemas kini serta memahami peraturan dan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan agar tidak berlaku salah faham atau kekeliruan di antara pemandu, penumpang serta penguat kuasa sehingga berdepan risiko diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Comentarios


bottom of page