LPKP Sabah setuju naik kadar tambang khas, 29 April - 8 Mei ini
- Wartawan Nabalu News
- Apr 9, 2022
- 1 min read

8 April 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah bersetuju untuk menaikkan kadar tambang khas sebanyak 14.3 sen (RM0.143) setiap kilometer bagi tempoh bermula 29 April hingga 8 Mei 2022.
Pengerusi LPKP Sabah Dato’ Chin Kim Hiung berkata, kenaikan kadar tambang 10 peratus daripada kadar tambang asal perkhidmatan Bas Express itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.
“Mesyuarat Lembaga LPKP Sabah bersetuju untuk menaikkan kadar tambang khas sebanyak 14.3 sen (RM0.143) bagi setiap kilometer sepanjang tempoh dari 29 April 2022 hingga 8 Mei 2022 berbanding 13 sen bagi setiap kilometer sebelumnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Chin berkata, LPKP Sabah juga mengambil maklum akan keperluan bas tambahan bagi menampung keperluan pengguna di sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang dijangka meningkat disebabkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Sehubungan itu, Mesyuarat Lembaga LPKP Sabah juga bersetuju untuk membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 bagi mana-mana syarikat pengendali Bas Ekpres yang layak untuk memohon bagi menampung keperluan ini.
“Tarikh permohonan LPS akan dibuka bermula 11 hingga 22 April 2022 dan borang boleh didapati di Ibu Pejabat LPKP Sabah, Kota Kinabau, LPKP Sabah Cawangan Tawau dan LPKP Sabah Cawangan Sandakan manakala tempoh sah laku LPS yang telah diluluskan adalah dari 29 April hingga 8 Mei 2022.
“Saya percaya keputusan ini akan mendapat pelbagai maklum balas dari pihak yang terkesan. Namun saya percaya keputusan ini adalah keputusan menang-menang bagi memastikan kebajikan semua pihak terjaga,” katanya.
Beliau juga berharap agar semua pihak yang terlibat terus menjaga dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan agar semua dapat membendung penularan Covid-19.
Comments