top of page

LTAT Umum Agihan Dividen 5.25 Peratus, Tertinggi Dalam Tempoh Tujuh Tahun

  • nabalunews
  • Mar 27
  • 2 min read


27 Mac 2025


KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan pengagihan dividen sebanyak lima peratus serta bonus dividen 0.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 (TK2024), tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.


Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, jumlah agihan itu bernilai RM514.20 juta, meningkat berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada tahun 2023 dan akan memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Katanya, bagi tahun kewangan 2024, LTAT telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM753 juta, meningkat 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.


“Selain itu, ia juga menggambarkan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar lima peratus, mencerminkan pemulihan kukuh, prestasi mampan serta kestabilan dana,” katanya.


Menurutnya, pertumbuhan ini didorong oleh usaha kepelbagaian aset serta pulangan lebih tinggi daripada Aset Strategik, mencerminkan pengurusan portfolio yang disiplin dan komitmen terhadap pertumbuhan yang mampan.


“Keuntungan bersih juga terus meningkat positif, dengan lonjakan sebanyak 23.7 peratus kepada RM588 juta bagi TK2024 berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang kukuh serta pengurusan kos yang berhemat.


“Sejak tahun 2022, keuntungan bersih LTAT berkembang secara konsisten melebihi RM400 juta setiap tahun, sekali gus mengukuhkan lagi pendapatan yang terkumpul.


“Dalam pada itu, rizab terkumpul LTAT mencatatkan peningkatan sebanyak 160.6 peratus tahun ke tahun, mencapai RM1,011 juta bagi tempoh yang dilapor,” katanya.


Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, En. Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, prestasi kewangan tahun ini adalah bukti kekuatan ekonomi domestik Malaysia, di mana pelaburan LTAT adalah 100 peratus berasaskan pasaran tempatan.


Katanya, pencapaian ini mencerminkan keberkesanan dasar kerajaan yang kukuh dalam mewujudkan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang stabil serta mengukuhkan kejayaan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dalam membina pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.


“Ia turut mencerminkan komitmen LTAT di bawah Kementerian Pertahanan untuk memenuhi mandat kepada pencarum, yang majoritinya adalah bumiputera dan sebahagian besar terdiri daripada kumpulan B40, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.


"Berdasarkan momentum ini, keutamaan kami adalah untuk menyegerakan usaha penstrukturan semula dan mengimbangi semula portfolio, terutamanya dalam menangani risiko tumpuan berlebihan.


“Hasil daripada pelaburan akan diagihkan secara strategik kepada aset cair, bagi memastikan LTAT selaras dengan amalan terbaik pengurusan dana global," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page