top of page
Wartawan Nabalu News

Luluskan pindaan Undang-undang Perkahwinan Bawah Umur pada tahun ini, gesa Jannie Lasimbang


9 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie menggesa kerajaan Sabah untuk meluluskan pindaan Undang-undang Perkahwinan Bawah Umur pada tahun ini agar dapat mengurangkan perkahwinan bawah umur di Sabah pada tahun ini.


Beliau membuat gesaan tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa dengan tema ‘Embrace Equity’, semalam.


“Undang-undang Perkahwinan Bawah Umur juga adalah salah satu usaha yang perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat di Sabah.


“Harapan saya agar pindaan undang-undang ini dapat diluluskan pada tahun ini bagi membantu mengurangkan perkahwinan awal dikalangan komuniti kita," katanya.



Beliau juga menzahirkan harapan agar draf Dasar Keterangkuman Gender dapat kelulusan untuk digunapakai oleh kerajaan Sabah untuk membantu menyeimbangkan dan meningkatkan perkembangan pembangunan wanita Sabah di masa hadapan.


Selain itu, Jannie turut menekankan perlunya kesedaran dan amalan kesaksamaan jantina dalam usaha mencapai perubahan dan meningkatkan status wanita.


"Kesaksamaan yang mana wanita diberi sumber atau peluang yang sama, tidak lagi mencukupi.


“Kita perlu menghayati erti ekuiti kerana wanita mempunyai keadaan yang berbeza dan perlu diperuntukkan sumber dan peluang tepat yang diperlukan bagi mencapai hasil yang diingini,” ujarnya.


Katanya, sambutan Hari Wanita Antarabangsa adalah penting sebagai platform untuk menghargai sumbangan dan usaha wanita dalam semua bidang, termasuk dalam pekerjaan, keluarga, politik dan sebagainya.


"Sambutan Hari Wanita penting kerana dapat memberitahu kepada semua orang di seluruh dunia tentang sumbangan dari segi masa, perhatian, penjagaan, pengorbanan dan usaha wanita dalam semua bidang, daripada hal kecil sehingga yang besar, perlu dihargai dan diraikan," ujarnya.


Sementara itu, Jannie turut mengajak rakyat Malaysia untuk memberi sokongan dan komitmen dalam mengamalkan prinsip Embrace Equity dalam kehidupan seharian.


"Pembangunan yang baik perlu bermula dengan kesedaran yang kecil tetapi boleh memberi impak yang besar di masa yang akan datang.


“Pada tahun 2022, kita telah menyaksikan ribuan orang di seluruh dunia menghantar imej yang menunjukkan sokongan dan solidariti mereka bagi tema kempen Hari Wanita Antarabangsa #BreakTheBias yang membantu memacu perubahan positif.


“Marilah kita jalinkan perpaduan dan sokongan yang luar biasa di seluruh dunia sekali lagi untuk tahun 2023 pada hari ini. Mari kita semua melangkah ke hadapan dan komited untuk #EmbraceEquity," katanya.

Comments


bottom of page