top of page

MA63: Laksanakan Perkara Dipersetujui, Tetapkan Garis Masa Penyelesaian Isu Tertangguh – Carlye

nabalunews
9 hours ago
2 min read

17 Sept 2026


KOTA KINABALU: Pemuda UPKO menggesa perkara yang sudah dipersetujui berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan, manakala isu yang masih tertangguh ditetapkan garis masa penyelesaian yang jelas.


Ketua Pemuda UPKO Nasional, Carlye Lajimin berkata, selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia, kemajuan pelaksanaan MA63 perlu diukur berdasarkan hasil yang dirasai rakyat Sabah dan Sarawak.


“Pendirian Pemuda UPKO jelas. Yang telah dipersetujui, laksanakan. Yang sedang dilaksanakan, percepatkan. Yang masih belum selesai, tetapkan garis masa penyelesaiannya.


“MA63 mesti bergerak daripada rundingan kepada keputusan, dan daripada keputusan kepada pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).


Beliau berkata, Pemuda UPKO menghargai usaha berterusan Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak menyelesaikan perkara berkaitan MA63 melalui rundingan antara kerajaan.


Bagaimanapun, katanya, ukuran kemajuan perlu beralih daripada jumlah perkara yang dibincangkan kepada perkara yang benar-benar dilaksanakan.


Mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Carlye menegaskan ia bukan soal meminta ihsan atau pemberian tambahan daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hak Sabah yang mempunyai asas dalam Perlembagaan Persekutuan.


Katanya, bayaran interim RM1.5 bilion tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada tuntutan itu kerana ia kekal sebagai bayaran sementara sepanjang rundingan diteruskan.


“Pemuda UPKO mahu rundingan berkaitan mekanisme dan pelaksanaannya dipercepatkan serta mempunyai garis masa yang jelas. Rakyat Sabah berhak mengetahui tahap kemajuan rundingan dan bila penyelesaian muktamad boleh dicapai,” katanya.


Carlye turut menggesa proses Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak dipercepatkan melalui tindakan nyata, termasuk membuka ruang lebih besar kepada anak tempatan menerajui jawatan penting di kedua-dua wilayah.


Menurutnya, Borneonisasi bukan sekadar soal mengisi jawatan, tetapi sebahagian daripada semangat dan persefahaman pembentukan Malaysia yang perlu dihormati melalui pelaksanaan.


Beliau berkata, persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat juga perlu disusuli hala tuju serta garis masa yang jelas.


Katanya, langkah susulan itu perlu merangkumi perincian jumlah kerusi, mekanisme pelaksanaan, proses bersama Suruhanjaya Pilihan Raya serta pindaan perundangan atau Perlembagaan yang diperlukan.


“Jangan biarkan sesuatu yang telah dipersetujui hari ini menjadi perkara yang masih dirunding sepuluh atau dua puluh tahun akan datang,” katanya.


Carlye berkata, Pemuda UPKO memahami bahawa sebahagian perkara berkaitan MA63 memerlukan rundingan, proses undang-undang dan persetujuan antara kerajaan, namun proses itu perlu mempunyai sasaran penyelesaian yang boleh dinilai rakyat.


Sehubungan itu, beliau mahu perkembangan setiap perkara berkaitan MA63 disampaikan secara lebih telus, termasuk perkara yang sudah selesai, sedang dilaksanakan, masih dirunding serta sasaran masa penyelesaiannya.


Beliau menegaskan Pemuda UPKO akan terus menyokong usaha Kerajaan Persekutuan yang membawa kemajuan sebenar dalam pelaksanaan MA63, di samping mendesak penyelesaian perkara yang masih tertangguh.

 
 
 

1 Comment


Jack Richardson
4 hours ago

Me parece positivo cuando una publicación permite comprobar fácilmente de qué sorteo procede cada resultado. El resultado loteria, acompañado de una fecha clara, ofrece una referencia útil para quienes desean revisar los datos posteriormente.

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page