top of page

Pemuda UPKO Tuaran Mahu Ucapan Sentuh Agama Disiasat

nabalunews
4 hours ago
1 min read

TUARAN: Pemuda UPKO Bahagian Tuaran membuat laporan polis berhubung ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Kristian.


Laporan itu dibuat Timbalan Ketua Pemuda UPKO Bahagian Tuaran, Leong Zay Rode, bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.


Ketua Penerangannya, Maxolvin Sintore berkata, sebarang ucapan berkaitan agama dan kepercayaan masyarakat perlu dibuat secara bertanggungjawab serta berhati-hati.


Menurutnya, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan ruang untuk mempermainkan, mempersendakan atau menyentuh sensitiviti mana-mana agama.


“Kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara adil dan profesional. Tindakan sewajarnya penting bukan untuk membangkitkan ketegangan, tetapi bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan di sini.


Beliau turut menyeru masyarakat Kristian supaya kekal tenang dan memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang.


Pada masa sama, Maxolvin mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang supaya terus bersama-sama memelihara keharmonian negara.


“Kita mungkin berbeza agama dan kepercayaan, tetapi sikap saling menghormati mesti menjadi batas yang dipelihara bersama.


“Kepelbagaian agama dan kaum adalah kekuatan Malaysia. Sikap saling memahami dan menjaga sensitiviti perlu terus menjadi asas kepada perpaduan serta keharmonian rakyat,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page