Madius Bangkitkan Misteri 400,000 Penduduk Sabah, Pertumbuhan Atasi Sarawak
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

26 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau hari ini, menyokong Rang Undang-Undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025, namun menegaskan persoalan integriti dalam sistem pendaftaran negara.
Beliau menarik perhatian Dewan Rakyat terhadap laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti pada 2007 yang mendedahkan percanggahan data penduduk Sabah antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Perangkaan.
“Menurut JPN, jumlah penduduk Sabah pada tahun 2000 ialah 2.026 juta, manakala Jabatan Perangkaan mencatatkan 2.449 juta.
"Wujud perbezaan sekitar 400,000 orang. Persoalan besar, siapakah 400,000 orang ini?” katanya ketika membahaskan RUU itu di sini.
Madius berkata laporan jawatankuasa itu juga membangkitkan isu rekod kelahiran mencurigakan di beberapa kawasan termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Kunak yang menimbulkan tanda tanya mengenai kesahihan proses pendaftaran ketika itu.
Beliau turut memetik perbandingan pertumbuhan penduduk Sabah dan Sarawak, yang menurutnya menunjukkan perkembangan luar biasa.
Katanya, pada 1960, penduduk Sabah berjumlah 454,421 orang manakala Sarawak 744,529 orang.
"Namun pada 2024, data Jabatan Perangkaan merekodkan Sabah dengan 3.75 juta penduduk berbanding Sarawak 2.5 juta.
“Sedangkan pada tahun 1960, penduduk Sarawak lebih 300,000 ramai daripada Sabah.
"Hari ini, Sabah pula lebih sejuta daripada Sarawak. Pertumbuhan mendadak ini tidak berlaku secara semula jadi tetapi akibat salah laku dan salah guna kuasa,” katanya sambil merujuk kepada testimoni Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah yang mendedahkan wujud pengeluaran kad pengenalan biru secara tidak sah yang dikenali sebagai ‘projek IC’.
Sehubungan itu, Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa kerajaan segera melaksanakan syor RCI mengenai PATI, di samping memastikan pendigitalan sistem pendaftaran negara disokong kawalan ketat seperti audit bebas berkala, klausa anti-manipulasi dan pengawasan Parlimen.
“Digitalisasi tanpa integriti hanya akan mempercepatkan salah guna kuasa dengan cara lebih canggih.
'Kita tidak mahu sejarah berulang dan wujudnya salah guna kuasa ‘Projek IC’ dalam bentuk digital,” katanya.
Komentar